Rabu, 30 September 2009

Pesanan Ibadah Puasa


Manusia dalam kehidupannya sentiasa dalam ujian, yakni diuji Allah SWT siapakah yang terlebih baik amalannya. Umpama anak-anak sekolah menghadapi kertas ujian. Bukan maksud guru untuk mendera dan menyusahkan murid-murid, tetapi untuk melihat peningkatan mereka dan memberikan mereka anugerah dan pengiktirafan setelah mereka lulus dan berjaya dalam peperiksaan tersebut. Demikianlah ibadah puasa mendidik seorang muslim. Puasa sentiasa diperintahkan, baik puasa sunat Isnin Khamis, Puasa Rejab, Sya’ban dan puncaknya sebulan berpuasa di bulan Ramadhan. Menjalani ibadah puasa memang memayahkan tubuh dan menyiksakan syahwat. Dengan berpuasa kita dilarang menikmati hidangan, padahal perut selalu lapar. Begitu juga mata dilarang menonton filem-filem, telinga dilarang mendengar lagu-lagu (yang sia-sia), manakala hati diperintahkan tunduk dan khusyuk. Dalam melakukan ibadah puasa seorang muslim diperintahkan meningkatkan amalan-amalan lainnya, yang semuanya tidak disenangi oleh hawa-nafsu, tetapi sesungguhnya baik untuk meningkatkan kemuliaan seseorang di sisi Allah SWT. Misalnya banyak bersedekah, menolong meringankan beban orang lain, bertadarus Al-Qur’an, solat tarawih, qiamullail dan sebagainya. Semuanya ini menyita masa dan kesenangan seseorang yang umumnya suka bersenang-senang dan santai. Jadi tujuan ibadah puasa ialah untuk meningkatkan kualiti iman dan akhlak seseorang. Ini tidak terhenti setakat demikian, tetapi seorang muslim dengan latihan di atas dimotivasikan supaya usaha yang dimulakan ini diteruskan ke hari-hari depannya. Bukan apabila puasa Ramadhan habis habis pulalah motivasi mereka untuk giat beribadah. Ini satu kekeliruan yang perlu dielakkan oleh seorang yang beriman. Ertinya jika Ramadhan mengajar kita menerapkan akhlak yang mulia, memperbanyakkan sedekah dan membaca Al-Qur’an maka dibulan-bulan seterusnya demikian juga hendaknya. Jadi ibadah itu perlu meningkat seperti meningkatnya kelas pelajar disekolah-sekolah. Dari darjah satu misalnya meningkat keperingkat Universiti. Dari tidak tahu membaca dan menulis sampai tahu. Dari sekadar mengetahui asas-asas solat pada mulanya, sehingga mampu mempraktikkan solat gred A, iaitu solat yang baik dan sempurna. Dari hanya mempraktikkan yang wajib-wajib sahaja kepada ditambahkannya yang sunat-sunat, dari malas menuntut ilmu kepada mencintainya, dari malas mendatangi masjid dan surau kepada rajin untuk solat jamaah setiap waktu. Demikianlah amalan seorang muslim.
Kesalahan Kita

Kaum muslimin sekarang sedang merayakan Aidil Fitri, sesungguhnya jika mereka menjalani ibadah puasa dengan baik dan benar, dengan memenuhi semua syarat-syarat serta rukun-rukunnya, Allah SWT menjanjikan keampunan dan membersihkan mereka dari semua dosa-dosa, sebagaimana bayi yang baru dilahirkan. Terkecuali untuk dosa-dosa besar. Dosa-dosa besar mesti dilakukan taubat. Maka umat Islam diingatkan supaya tidak sampai lupa iktibar puasa yang baru saja mereka kerjakan. Jangan sampai seorang muslim kerugian dengan mudah atas kecuaian mereka yang tidak dapat mengendalikan diri, berikutnya menghapuskan pahala-pahala yang baru mereka perolehi. Misalnya melakukan pembaziran atas nama menyambut Syawal, (kerana pembaziran itu adalah saudara syaitan), atau seperti mengumbar-ngumbar wang sesuka hati, contohnya dengan membakar mercun, menukar perabut baru, langsir baru, padahal yang lama masih elok, meneruskan tabiat merokok dan lain sebagainya. Demikian juga sikap buruk yang dikecam agama seperti mendedahkan aurat, pergaulan bebas, atau berkasih-kasihan sebelum berkahwin seperti yang selalu dipraktikkan oleh golongan remaja saat ini. Ini semua ditegah agama.

Jalan Perbaikan

“Sesungguhnya orang yang amat mulia di antara kamu dalam pandangan Tuhan ialah orang yang lebih bertaqwa” - Q.S.: Al-Hujurat: 13. Bagaimana supaya seruan ini dapat difahami dan supaya perintah takwa ini dapat dikekalkan penghayatan serta amalannya? Kehidupan dunia demikian pendek dan sesaat sifatnya. Umur yang sekarang 40 tahun atau 60 tahun dirasakan sebentar cuma. Betapapun anda pernah merasakan kesakitan atau nikmat, semuanya ibarat angin lalu. Ia menyentuh kulit kita kemudian berlalu pergi. Umur setiap orang semakin berkurang setiap detik, lalu apakah kita menyedari akan hal ini. Umur yang meningkat, gigi yang rontok, rambut yang memutih, kulit yang mula berkedut semuanya adalah amaran dan peringatan dari Al- Islam memerintahkan umatnya supaya sentiasa mengimarahkan masjid dan Surau rajin menuntut ilmu lah. Ertinya kehidupan ini tidak lama dan akan segera meninggalkan kita. Cuma kita mengingatnya atau tidak saja. Kita selalu dilalaikan oleh dunia, padahal agama menyatakan sebaliknya. Bagaimana agar insan ini selalu beroleh kesedaran? Hendaklah seorang muslim sentiasa mempertingkatkan pemahaman agamanya. Banyakkan menghadiri kuliah-kuliah agama, giatkan menuntut ilmu dan mencintai amal.Hendaklah setiap muslim banyak membaca buku-buku agama dan majalah-majalah Islam. Misalnya yang sangat baik seperti buku, Nasihat Agama Dan Wasiat iman, karya Imam Habib Abdullah Al-Haddad, buku, Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam, karya Dr. Abdullah Nasih Ulwan, Al-Islam, karya Said Hawwa, La Tahzan, karya Dr. ‘Aidh Al-Qarni, kitab sirah seperti, Sirah Rasulullah SAW, karya Syaikh Sofiyurrahman Al-Mubarakfuriy, dan lain sebagainya. Kalau majalah seperti majalah “i”, misalnya, atau Anis. Untuk para pelajar sekolah rendah langganlah majalah-majalah seperti Asuh, Awlad, Ana Muslim atau Sayang Muslim.
Untuk memastikan juga supaya takwa, ibadah dan akhlak kita kekal baik dan semakin bermutu, hendaklah kita memilih teman atau sahabat yang soleh, sahabat yang mencintai Islam, yang selalu melazimi masjid-masjid Allah. Sebab dengan siapa kita berteman akan mempengaruhi akhlak kita. Ada pepatah yang berbunyi: “Kalalu anda hendak melihat seseorang, lihatlah dengan siapa dia bersahabat.” Sebab bersahabat itu pengaruh mempengaruhi. Berteman dengan seorang jahat,kita menjadi jahat, berkawan dengan seorang buruk kita menjadi buruk. Dan memang salah-satu sebab kerosakan manusia ialah salah dalam mendampingi sahabat. Apakah anda melihat seorang yang berkawan dengan seorang kaki maksiat mencintai masjid? Tentu tidak bukan.
Akhir sekali supaya seorang muslim dapat bermotivasi mengekalkan takwa dan memelihara baik akhlak keIslamannya iktibar dari amalan puasa tadi ialah dengan patuh kepada disiplin. Kerana tidak akan berjaya suatu kaum yang tidak menetapi disiplin. Dan disiplin itu adalah dari tekad dan azam sendiri yang dimotivasikan oleh agama tadi. Contohnya azam untuk berhenti merokok. Ambillah segala jenis pil atau ubat, tidak akan berjaya berhenti—ubatnya adalah tekad dan azam yang teguh serta memohon pertolongan Allah. Ya Allah bantulah kami untuk mengingat-Mu, mensyukuri-Mu dan membaguskan Ibadah kami ke hadhirat-Mu - amin.

Selasa, 8 September 2009

USTAZ TUAN SAFUAN TUAN ISMAIL,KIAS.KOTA BHARU,KELANTAN


Bila tiba saja bulan ramadhan, umat Islam pasti akan menyebut-nyebut malam lailatul qadar. Dan perbincangan yang paling banyak ialah tentang bilakah malam lailatul qadar. Ini kerana semua sudah maklum tentang kelebihannya dan kewujudannya, namun tiada siapa yang mengetahui dengan tepat tentang bilakah malamnya.Dinamakan sebagai Lailatul Qadar kerana al-Qadr bererti “nilai”. Ini kerana malam tersebut adalah malam yang sangat bernilai kerana padanya diturunkan al-Qur’an, padanya turunnya para Malaikat, turunnya rahmat, keberkatan dan keampunan daripada Allah SWT. Atau dinamakan juga sebagai malam yang bernilai kerana orang yang menghidupkannya dengan ibadah adalah orang yang mempunyai nilai di sisi Allah SWT dengan bertambah pahalanya dan darjatnya. Atau dinamakan juga sebagai lailatul qadar, dengan al-Qadr bererti sempit. Ini kerana ilmu tentang bilakah malam tersebut telah dipersempitkan sehingga tidak diketahui bilakah malamnya secara pasti. Atau juga kerana dunia yang luas ini menjadi sempit pada malam tersebut kerana dipenuhi dengan para malaikat yang begitu ramai turun padanya. Atau dinamakan lailatul qadar dengan al-Qadar (huruf Dal berbaris fathah) bererti ketentuan. Ini kerana pada malam tersebut para Malaikat menulis ketentuan-ketentuan takdir, rezeki, ajal dan sebagainya untuk tahun tersebut. Di mana, para Malaikat akan mengetahui apa yang akan berlaku, supaya mereka boleh laksanakan perintah yang dititahkan oleh Allah SWT.Terdapat banyak hadis yang membincangkan tentang malam lailatul qadar. Dan antara hadis yang boleh dijadikan panduan dalam mencari malam lailatul qadar ialah:Hadis pertama:عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُجَاوِرُ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ وَيَقُولُ تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَErtinya: Aisyah r.a. menyatakan: “Rasulullah s.a.w. beriktikaf pada sepuluh hari yang terakhir pada bulan ramadhan, dan baginda bersabda: “Carilah lailatul qadar pada sepuluh (malam) yang terakhir daripada bulan ramadhan”. Hadis riwayat Bukhari.Hadis kedua:عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنْ الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَAisyah r.a. menyatakan: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Carilah lailatul qadar pada (malam) yang ganjil daripada sepuluh (malam) yang terakhir daripada bulan ramadhan”. Hadis riwayat Bukhari.Hadis ketiga:عن ابْن عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الْتَمِسُوهَا فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ يَعْنِي لَيْلَةَ الْقَدْرِ فَإِنْ ضَعُفَ أَحَدُكُمْ أَوْ عَجَزَ فَلَا يُغْلَبَنَّ عَلَى السَّبْعِ الْبَوَاقِيErtinya: Ibn Umar r.a. meriwayatkan Rasulullah s.a.w. bersabda: “Carilah lailatul qadar pada sepuluh (malam) yang terakhir. Dan jika kamu lemah, maka janganlah lagi lemah (dalam mencarinya) pada tujuh (malam) yang masih berbaki”. Hadis riwayat Ahmad dan Muslim.Kesimpulan yang boleh dibuat berdasarkan hadis-hadis tadi ialah lailatul qadar itu berada pada sepuluh malam yang terakhir pada bulan Ramadhan. Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: (hadis keempat)هِيَ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِErtinya: “Ia (lailatul qadar) adalah pada sepuluh yang akhir”. Hadis riwayat Bukhari. Bahkan Imam Abdul Razzaq telah meriwayatkan dalam kitabnya al-Musonnaf, bahawa Saidina Umar pernah memanggil para sahabat untuk membincangkan bilakah malam lailatul qadar, dan akhirnya mereka sepakat bahawa ia adalah pada sepuluh malam yang terakhir. Namun tidak diketahui pada malam manakah daripada malam yang sepuluh itu. Kerana inilah Qadhi I’yadh menyatakan, tidak ada satu malam pun daripada sepuluh malam yang terakhir melainkan ada pendapat ulamak yang memilihnya sebagai lailatul qadar. Rujuk Fathul Bari, juz 4, m/s 333.Al-Hafiz Ibn Hajar dalam kitabnya Fathul Bari, Syarah Sohih Bukhari telah menaqalkan lebih daripada empat puluh enam pendapat tentang bilakah lailatul qadar. Dan kesimpulan yang beliau nyatakan ialah: “…Dan yang paling rajih (tepat) ialah lailatul qadar itu pada (malam-malam yang) ganjil pada sepuluh malam yang terkahir. Dan ia pula berpindah-pindah sebagaimana yang difahami daripada hadis-hadis dalam bab ini. Dan yang paling diharapkan ialah pada malam-malam ganjil pada sepuluh yang terakhir ini, dan yang paling diharapkan antara malam-malam ganjil tersebut di sisi para ulamak mazhab Syafie ialah malam dua puluh satu atau malam dua puluh tiga sebagaimana hadis Abu Said al-Khudri (mlm 21) dan hadis Abdullah bin Unais (malam 23). Dan yang paling diharapkan antara malam-malam ganjil tersebut di sisi jumhur (majoriti) ulamak pula ialah pada malam dua puluh tujuh”. Rujuk Fathul Bari, juz 4, m/s 335.Dan bagi Imam Syafie, malam yang paling diharapkan berlakunya lailatul qadar ialah malam ke dua puluh satu. Imam Tirmizi menyatakan dalam kitabnya Sunan Tirmizi, bahawa Imam Syafie menyatakan: “Dan riwayat (hadis) yang paling kuat di antara hadis-hadis (tentangnya) pada pandanganku ialah ia pada malam dua puluh satu”. Rujuk Tuhfatul Ahwazi, juz 3, m/s 424.Dan antara hadis yang menguatkan pandangan ini ialah,Hadis kelima:عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُجَاوِرُ فِي رَمَضَانَ الْعَشْرَ الَّتِي فِي وَسَطِ الشَّهْرِ فَإِذَا كَانَ حِينَ يُمْسِي مِنْ عِشْرِينَ لَيْلَةً تَمْضِي وَيَسْتَقْبِلُ إِحْدَى وَعِشْرِينَ رَجَعَ إِلَى مَسْكَنِهِ وَرَجَعَ مَنْ كَانَ يُجَاوِرُ مَعَهُ وَأَنَّهُ أَقَامَ فِي شَهْرٍ جَاوَرَ فِيهِ اللَّيْلَةَ الَّتِي كَانَ يَرْجِعُ فِيهَا فَخَطَبَ النَّاسَ فَأَمَرَهُمْ مَا شَاءَ اللَّهُ ثُمَّ قَالَ كُنْتُ أُجَاوِرُ هَذِهِ الْعَشْرَ ثُمَّ قَدْ بَدَا لِي أَنْ أُجَاوِرَ هَذِهِ الْعَشْرَ الْأَوَاخِرَ فَمَنْ كَانَ اعْتَكَفَ مَعِي فَلْيَثْبُتْ فِي مُعْتَكَفِهِ وَقَدْ أُرِيتُ هَذِهِ اللَّيْلَةَ ثُمَّ أُنْسِيتُهَا فَابْتَغُوهَا فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ وَابْتَغُوهَا فِي كُلِّ وِتْرٍ وَقَدْ رَأَيْتُنِي أَسْجُدُ فِي مَاءٍ وَطِينٍ فَاسْتَهَلَّتْ السَّمَاءُ فِي تِلْكَ اللَّيْلَةِ فَأَمْطَرَتْ فَوَكَفَ الْمَسْجِدُ فِي مُصَلَّى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةَ إِحْدَى وَعِشْرِينَ فَبَصُرَتْ عَيْنِي رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَنَظَرْتُ إِلَيْهِ انْصَرَفَ مِنْ الصُّبْحِ وَوَجْهُهُ مُمْتَلِئٌ طِينًا وَمَاءًErtinya: Abu Said al-Khudriy r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. beriktikaf dalam bulan Ramadhan pada 10 hari pertengahan bulan. Bila sampai hari ke dua puluh, baginda pulang ke rumah baginda. Dan orang-orang yang beriktikaf bersama mereka juga pulang. …kemudian baginda bersabda: “Aku beriktikaf pada sepuluh hari ini (pertengahan bulan), kemudian jelas kepadaku untuk beriktikaf pada sepuluh yang terkahir ini. Maka sesiapa yang beriktikaf bersamaku, maka hendaklah dia kembali beriktikaf di tempat iktikafnya. Dan sesungguhnya aku sudahpun diperlihatkan (bilakah) malam lailatul qadar, kemudian aku dilupakannya. Maka carilah ia pada sepuluh yang terakhir, dan carilah pada setiap (malam yang) ganjil. Dan sesungguhnya aku melihat (tandanya ialah) aku bersujud di atas air dan tanah yang lembik (selut). Dan pada malam itu (malam dua puluh satu) turunnya hujan, sehingga menitis (air hujan) ke dalam masjid di tempat solat Rasulullah s.a.w. Dan aku melihat Rasulullah s.a.w. setelah selesai dari solat subuh, wajah baginda penuh dengan air dan tanah yang lembik. Hadis riwayat Bukhari.Sebahagian ulamak Syafieyyah menganggap malam 21 adalah malam pertama sepuluh malam yang terakhir, dan ia adalah malam lailatul qadar. Ibn Hazm al-Zahiri pula berpendapat lailatul qadar adalah pada malam ke 21 jika bulan Ramadhan hanya 29 hari, dan ia adalah pada malam ke 20 jika bulan itu genap 30 hari. Rujuk Fathul Bari, juz 4, m/s 332.Dan bagi yang berpendapat ia adalah malam ke 23, mereka berpandukan kepada hadis riwayat Muslim, daripada Abdullah bin Unais r.a. sebagaimana hadis tadi (hadis keempat, riwayat Abu Said al-Khudri), cumanya dalam hadis tersebut dinyatakan ia adalah pada malam ke 23. Dan Abdullah bin Unais r.a. juga berpendapat demikian. Dikuatkan lagi dengan kata-kata Muawiyah r.a. bahawa malam lailatul qadar adalah pada malam ke 23. Riwayat Ibn Abi Syaibah, dengan isnad yang sohih. Tambahan lagi malam ke 23 adalah malam pertama daripada tujuh malam yang berbaki, jika bulan tersebut hanya 29 hari.Dan bagi yang berpendapat ia adalah pada malam ke 24, mereka berhujah dengan kata-kata Ibn Abbas: “Carilah (lailatul qadar) pada malam ke dua puluh empat”. Riwayat Bukhari. Namun ada juga yang menganggap maksud Ibn Abbas ialah malam 24 adalah malam pertama daripada tujuh malam yang masih berbaki, yang dituntut oleh Rasulullah s.a.w. untuk kita mencari lailatul qadar.Dan jumhur ulamak pula yang menganggap kemungkinan terbesar lailatul qadar adalah pada malam ke 27. Mereka berdalilkan denganHadis keenam:عن زِرّ بْن حُبَيْشٍ يَقُولُ: سَأَلْتُ أُبَيَّ بْنَ كَعْبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فَقُلْتُ إِنَّ أَخَاكَ ابْنَ مَسْعُودٍ يَقُولُ مَنْ يَقُمْ الْحَوْلَ يُصِبْ لَيْلَةَ الْقَدْرِ، فَقَالَ رَحِمَهُ اللَّهُ: أَرَادَ أَنْ لَا يَتَّكِلَ النَّاسُ. أَمَا إِنَّهُ قَدْ عَلِمَ أَنَّهَا فِي رَمَضَانَ وَأَنَّهَا فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ وَأَنَّهَا لَيْلَةُ سَبْعٍ وَعِشْرِينَ، ثُمَّ حَلَفَ لَا يَسْتَثْنِي أَنَّهَا لَيْلَةُ سَبْعٍ وَعِشْرِينَ. فَقُلْتُ: بِأَيِّ شَيْءٍ تَقُولُ ذَلِكَ يَا أَبَا الْمُنْذِرِ؟ قَالَ: بِالْعَلَامَةِ أَوْ بِالْآيَةِ الَّتِي أَخْبَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهَا تَطْلُعُ يَوْمَئِذٍ لَا شُعَاعَ لَهَاErtinya: Zir bin Hubaisy berkata, aku bertanyakan Ubai bin Kaab tentang kata-kata Ibn Mas’ud: “Sesiapa yang bangun beribadat sepanjang tahun, maka dia akan mendapat lailatul qadar”. Lalu Ubai r.a. menjawab: Tujuan Ibn Mas’ud r.a. adalah supaya orang ramai tidak hanya bergantung pada tarikh tertentu dan meninggalkan ibadat. Sebenarnya beliau memang tahu bahawa ia hanya pada bulan ramadhan, dan ia hanya pada sepuluh malam yang terakhir dan ia adalah pada malam ke 27. Kemudian beliau (Ubai bin Kaab r.a.) bersumpah tanpa teragak-agak bahawa lailatul qadar adalah pada malam ke 27. Lalu aku (Zir bi Hubaisy) bertanya: Apakah sebab kamu berkata demikian wahai Abul Munzir (gelaran Ubai bin Kaab r.a.)? Beliau menjawab: Dengan alamat atau tanda yang mana Rasulullah s.a.w. memberitahu kepada kami bahawa (matahari) pada hari itu akan timbul tanpa sinaran cahaya. Hadis riwayat Muslim.Dan yang menguatkan lagi ia adalah pada malam 27, perkataan ( هي ) yang bererti ia (kata ganti nama yang merujuk kepada lailatul qadar), pada surah al-Qadar adalah kalimah yang ke 27. Tambahan lagi, kalimah lailatul qadar ( ليلة القدر ) dalam bahasa arab adalah sembilan huruf. Dan ia pula disebut sebanyak tiga kali dalam surah tersebut. Maka jumlah keseluruhan huruf kalimah adalah 27. Namun tafsir ini hanyalah tafsir isyari sahaja, dan bukanlah asas tafsir yang ilmiah.Kesimpulan yang boleh diucapkan tentang persoalan ini, ialah beramallah dengan bersungguh-sungguh pada 10 yang akhir, kerana kita meyakini kewujudannya, sekalipun tidak tahu tentang bilakah masanya. Apatah lagi ramai di kalangan ulamak yang menganggap masanya boleh berubah-ubah malamnya, sebagaimana pendapat Imam Malik, Sufyan al-Sauri, Imam Ahmad, Ishaq bin Rahuyah dan lain-lain.Perbanyakkanlah amal ibadah pada 10 hari yang terakhir ini. Dan inilah yang telah dilakukan oleh baginda s.a.w. sebagaimana kata Aisyah r.a. (hadis riwayat Muslim). Ini kerana ilmu tentangya telah dipersempitkan, supaya kita semua menambahkan lagi ibadat kita bukan hanya tertentu pada satu malam sahaja, bahkan pada malam-malam yang berbilang-bilang. Bahkan Rasulullah s.a.w. menganggap diangkatkan daripada baginda ilmu tentang lailatul qadar itu sebagai satu perkara yang baik untuk kita (Hadis Bukhari), kerana ia menambahkan lagi ibadah kita. Semoga kita semua mendapat bonus malam lailatul qadar yang sangat hebat, yang merupakan lebih baik daripada seribu bulan, yang menyamai 83 tahun 4 bulan[1].[1] Berdasarkan perbincangan ini dan pendapat para ulamak, maka pendapat yang mengatakan bahawa Nuzul Qur’an pada 17 Ramadhan adalah pendapat yang dhoif. Ini kerana al-Qur’an dengan jelas menyatakan bahawa ia diturunkan pada malam lailatul qadar. Dan lailatul qadar pula adalah pada sepuluh malam yang akhir, sebagaimana dalam hadis-hadis dan juga kesepakatan para sahabat. Dan 17 Ramadhan tidaklah termasuk dalam sepuluh malam yang terakhir. Ia juga menunjukkan bahawa solat sunat lailatul qadar adalah satu perkara yang bid’ah dan bukannya satu perkara yang sunat. Namun, yang sedihnya, terdapat buku yang menyunatkan demikian. Ini kerana solat tersebut tidaklah terdapat dalam mana-mana hadis. Lagipun, masa untuk melakukannya juga tidak diketahui, kerana tidak ada yang mengetahui dengan tepat, bilakah malam lailatul qadar. Dan Allah SWT Yang Maha Mengetahui.

INFO BERGUNA LAILATUL QADAR

ustaz zaharuddin abdul rahman

Laylatul Qadar atau Malam al-Qadar telah diketahui umum sebagai malam yang amat istimewa buat seluruh umat Islam. Ia berdasarkan ayat al-Quran dari surah al-Qadr . Firman Allah SWT :
Ertinya : "Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan" (Al-Qadr : 2) .
Di Malam ini jugalah Nabi SAW bersungguh-sungguh beribadat melebihi malam-malam Ramadhan yang lain. Disebutkan di dalam sebuah hadith :-
Ertinya : Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain" ( Riwayat Muslim, no 1175 )
Sebuah lagi hadis menyebut :-
انه كان يعتكف فيها ويتحرى ليلة القدر خلالها
Ertinya : "Adalah Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya (malam-malam ramadhan)" ( Riwayat al-Bukhari & Muslim)
أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وشد مئزره
Ertinya : " Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)" ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Waktunya

Para ulama antaranya Syeikh Dr Yusof Al-qaradawi menyebut bahawa tarikh malam lailatul qadar sengaja di sembunyikan oleh Allah SWT agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya, bagaimanapun ada disebutkan terdapat tanda-tanda akan kemunculan malam yang terhebat ini.
Iaitu seperti hari esoknya yang tidak terlampu panas dan tidak pula sejuk, matahari pula tidak memancarkan sinarannya dan pelbagai lagi. Ia semuanya berasal dari hadith-hadith yang sohih.
Bagaimanapun tanda-tanda ini tidaklah begitu penting bagi individu yang benar-benar telah beribadat sepanjang malam. Ia juga tidak banyak memberikan manfaat kerana malam tersebut sudah terlepas sekiranya tanda itu dikenalpasti esoknya.
Malah, tanda ini juga adalah amat sukar menjadi tepat kerana suasana dan cuaca sesebuah Negara adalah berlainan. Di Negara barat contohnya mungkin sentiasa mendung kerana berada dalam musim sejuk, musim bunga manakala di Afrika pula mungkin sedang mengalami keterikan. Adakah malam al-qadar tidak muncul di tempat mereka kerana setiap siang adalah terik?.
Jawabnya, tanda-tanda ini hanyalah contoh yang berlaku di zaman Nabi SAW dan tidak lebih dari itu.
Menurut pandangan yang paling kuat di kalangan para ulama, ianya berlaku pada sepuluh malam yang terakhir, iaitu pada malam-malam ganjil.
Hadith Nabi menyebut:-
التمسوها في العشر الأواخر من رمضان
Ertinya : " Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan" (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Bagaimanapun, kita sekali lagi mungkin kebingungan pada tahun-tahun tertentu JIKA negara Arab memulakan puasa pada tarikh yang berbeza dengan negara-negara di Nusantara. Justeru, pada malam ganjil menurut kiraan Malaysia atau Saudi ?. Hal ini sukar diputuskan oleh para Ulama. Sudahnya, mereka menyarankan agar dihidupkan seluruh malam sahaja. Jawapan termudah tetapi tidak memuaskan hati tentunya. Wallahu alam.

Tarikhnya Berubah atau Tetap Setiap Tahun?
Sebahagian ulama mengatakannya bersifat tetap pada setiap tahun iaitu pada malam 27 Ramadhan, manakala majoriti ulama termasuk Imam An-Nawawi As-Syafie pula berpendapat ianya bertukar-tukar pada setiap tahun dan tidak kekal pada satu tarikh (Al-Majmu' 6/450).
Selain dari itu, berdasarkan dalil hadith al-Bukhari, kemungkinan terbesar adalah jatuh pada tujuh malam terakhir iaitu samada 25, 27 atau 29 Ramadhan berdasarkan sabdaan Nabi SAW:-
أرى رؤياكم قد تواطأت في السبع الأواخر ، فمن كان متحريها فليتحرها في السبع الأواخر
Ertinya : Aku lihat mimpi kamu (sahabat) telah menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam terakhir" ( Riwayat al-Bukhari , no 1911 & Muslim)
Dari tiga tarikh harapan itu, tarikh 27 Ramdhan adalah yang paling diharapkan oleh kebanyakan umat Islam (terutamany di negara Arab) dan ia juga dipegang oleh kebanyakan Sahabat Nabi SAW serta ulama silam, sehinggakan seorang sahabat bernama Ubay Bin Ka'ab ra bersumpah ia adalah malam ke dua puluh tujuh (di zamannya secara khasnya kerana beliau telah melihat tandanya dan yakin tarikh itu tidak berubah pada tahun-tahun berikutnya) dan zaman lain umumnya, sebagaimana dalil hadith yang menyebut:-
ليلة القدر ليلة سبع وعشرين
Ertinya : "Malam al-Qadar dalah malam ke dua puluh tujuh" (Riwayat Ahmad, Abu Daud, no 1386 )
Doa Terpenting Semasa Lailatul Qadar
Allah s.w.t pernah menegur manusia yang lupa doa untuk akhirat mereka di masa puncak kemakbulan doa. Anataranya seperti hari Arafah, sebagaimana dinyatakan dalam firmanNya :-
فَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنْ خَلاَقٍ
Ertinya : Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat ( Al-Baqarah : 200 )
Jelas dalam ayat ini Allah s.w.t menegur manusia yang lupakan kebaikan akhiratnya.
Lalu Allah s.w.t mewartakan bentuk doa yang sepatutnya, iaitu yang merangkumi kebaikan dunia dan akhirat..dan dilebihkan 'portion' atau bahagian akhirat apabila di tambah "selamatkan dari api neraka". Beerti doa untuk bahagian akhirat perlu lebih dari dunia.
Lihat doa yang diingini Allah s.w.t :-
وِمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Ertinya : "Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: ""Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka" ( Al-Baqarah : 201 )
Di malam-malam akhir ramadhan ini target utama kita adalah mendapatkan keampunan Allah s.w.t. Inilah yang disebut dalam jawapan nabi s.a.w kepada Aisyah r.a :-
وقالت عائشة ـ رضي الله عنها ـ : يا رسول الله إن وافقت ليلة القدر، فما أقول ؟ قال: قولي: اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني
Ertinya : "Berkatalah Aisyah , Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa) ? Bersabda Nabi : " Sebutlah doa " Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun , dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan"
Mestikah Mendapat Tanda ?
Sabda Nabi SAW :
من يقم ليلة القدر فيوافقها..
Ertinya : Barangsiapa yang menghidupkan malam qadar ini dan mendapatnya..." ( Riwayat Muslim)
Hadiith ini menyebabkan setengah ulama mengatakan bahawa setiap individu yang mendapat keberkatan malam al-qadar mestilah mengetahui berdasarkan hadith di atas.
Bagaimanapun, pandangan yang lebih tepat adalah seseorang individu itu mampu mendapat kebaikannya, samada ia mengetahuinya atau tidak mengetahuinya, tanpa menafikan bahawa sesetengah individu diberi rezeki dan kelebihan oleh Allah untuk mengetahuinya melalui pelbagai cara termasuk mimpi, tanda menarik dan mungkin pelik dan sebagainya.
Tidak perlulah untuk solat malam di tepi pokok atau di hadapan baldi air, kerana ingin memastikan waktu pokok sujud atau air menjadi beku. Allah akan memberikan tandanya menurut kehendakNya.
Masa Berkat Berpanjangan atau Hanya Beberapa Saat?
Saya masih ingat, semasa saya berada di zaman kanak-kanak, tersebar info kepada kebanyakkan saya dan rakan-rakan ketika itu adalah :
waktu maqbul dan berkat ini beberapa saat sahaja. Jika terlepas maka saatnya rugilah sepanjang hayat.
Rupanya, ia hanya rekaan para pereka cipta sahaja yang tidak diketahui tujuan mereka. Hakikatnya, waktu berkat lagi makbul ini adalah luas sepanjang malam, ia telah disebutkan oleh Allah dengan jelas iaitu :-
سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ
Ertinya : Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar ( Al-Qadr : 5 )

Inilah yang diterangkan oleh Imam Al-Qurtubi di dalam kitabnya. (Al-Jami' Li Ahkam al-Quran, 20/134 )
Wanita Haid Terhalang Dari Berkatnya ?
Adakah wanita sedang haid terhalang dari keberkatan lailatul Qadar?. Sudah tentu jawabnya tidak, Allah s.w.t maha adil. Bagi wanita sedang uzur pelbagai amalan dan ibadah yang masih boleh dilakukan seperti :-
· 1) Berzikir
· 2) Berdoa
· 3) Membawa terjemahan Al-Quran serta memahaminya.
· 4) Mendengar bacaan Al-Quran oleh suaminya, adik beradik atau dari kaset.
Sebahagian ulama silam dan moden seperti Syeikh Prof. Dr Muhammad Abu Laylah ( Prof Syariah di Univ Al-Azhar) berpendapat mereka dibenarkan juga membaca al-Quran tanpa memegangnya (melalui hafazan), malah sebahagian yang lain seperti Fatwa Ulama Saudi pula membenarkan mereka membacanya melalui mashaf. Saya tidak ingin membincangkannya di sini. Sekadar memberikan idea dan keterbukaan di kalangan para ulama.
Semoga kita diberikan kekuatan ibadah dan keikhlasan di waktu malam tersebut.
sekian

Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/

Salam Masjid

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakahtuh dan salam sejahtera.

Pertamanya kami bersyukur kerana dapat bersama alam maya dan insyaallah bermanfaat bersama.

Masjid As Saadah merupakan sebuah masjid yang tersergam indah dan mempunyai kemudahan dewan seminar dan sebagainya.

Lokasi kami ialah di Bandar Sultan Sulaiman,Pelabuhan Utara.Dekat Muara Ikan Bakar,Tanjung Harapan.