Rabu, 30 September 2009

Pesanan Ibadah Puasa


Manusia dalam kehidupannya sentiasa dalam ujian, yakni diuji Allah SWT siapakah yang terlebih baik amalannya. Umpama anak-anak sekolah menghadapi kertas ujian. Bukan maksud guru untuk mendera dan menyusahkan murid-murid, tetapi untuk melihat peningkatan mereka dan memberikan mereka anugerah dan pengiktirafan setelah mereka lulus dan berjaya dalam peperiksaan tersebut. Demikianlah ibadah puasa mendidik seorang muslim. Puasa sentiasa diperintahkan, baik puasa sunat Isnin Khamis, Puasa Rejab, Sya’ban dan puncaknya sebulan berpuasa di bulan Ramadhan. Menjalani ibadah puasa memang memayahkan tubuh dan menyiksakan syahwat. Dengan berpuasa kita dilarang menikmati hidangan, padahal perut selalu lapar. Begitu juga mata dilarang menonton filem-filem, telinga dilarang mendengar lagu-lagu (yang sia-sia), manakala hati diperintahkan tunduk dan khusyuk. Dalam melakukan ibadah puasa seorang muslim diperintahkan meningkatkan amalan-amalan lainnya, yang semuanya tidak disenangi oleh hawa-nafsu, tetapi sesungguhnya baik untuk meningkatkan kemuliaan seseorang di sisi Allah SWT. Misalnya banyak bersedekah, menolong meringankan beban orang lain, bertadarus Al-Qur’an, solat tarawih, qiamullail dan sebagainya. Semuanya ini menyita masa dan kesenangan seseorang yang umumnya suka bersenang-senang dan santai. Jadi tujuan ibadah puasa ialah untuk meningkatkan kualiti iman dan akhlak seseorang. Ini tidak terhenti setakat demikian, tetapi seorang muslim dengan latihan di atas dimotivasikan supaya usaha yang dimulakan ini diteruskan ke hari-hari depannya. Bukan apabila puasa Ramadhan habis habis pulalah motivasi mereka untuk giat beribadah. Ini satu kekeliruan yang perlu dielakkan oleh seorang yang beriman. Ertinya jika Ramadhan mengajar kita menerapkan akhlak yang mulia, memperbanyakkan sedekah dan membaca Al-Qur’an maka dibulan-bulan seterusnya demikian juga hendaknya. Jadi ibadah itu perlu meningkat seperti meningkatnya kelas pelajar disekolah-sekolah. Dari darjah satu misalnya meningkat keperingkat Universiti. Dari tidak tahu membaca dan menulis sampai tahu. Dari sekadar mengetahui asas-asas solat pada mulanya, sehingga mampu mempraktikkan solat gred A, iaitu solat yang baik dan sempurna. Dari hanya mempraktikkan yang wajib-wajib sahaja kepada ditambahkannya yang sunat-sunat, dari malas menuntut ilmu kepada mencintainya, dari malas mendatangi masjid dan surau kepada rajin untuk solat jamaah setiap waktu. Demikianlah amalan seorang muslim.
Kesalahan Kita

Kaum muslimin sekarang sedang merayakan Aidil Fitri, sesungguhnya jika mereka menjalani ibadah puasa dengan baik dan benar, dengan memenuhi semua syarat-syarat serta rukun-rukunnya, Allah SWT menjanjikan keampunan dan membersihkan mereka dari semua dosa-dosa, sebagaimana bayi yang baru dilahirkan. Terkecuali untuk dosa-dosa besar. Dosa-dosa besar mesti dilakukan taubat. Maka umat Islam diingatkan supaya tidak sampai lupa iktibar puasa yang baru saja mereka kerjakan. Jangan sampai seorang muslim kerugian dengan mudah atas kecuaian mereka yang tidak dapat mengendalikan diri, berikutnya menghapuskan pahala-pahala yang baru mereka perolehi. Misalnya melakukan pembaziran atas nama menyambut Syawal, (kerana pembaziran itu adalah saudara syaitan), atau seperti mengumbar-ngumbar wang sesuka hati, contohnya dengan membakar mercun, menukar perabut baru, langsir baru, padahal yang lama masih elok, meneruskan tabiat merokok dan lain sebagainya. Demikian juga sikap buruk yang dikecam agama seperti mendedahkan aurat, pergaulan bebas, atau berkasih-kasihan sebelum berkahwin seperti yang selalu dipraktikkan oleh golongan remaja saat ini. Ini semua ditegah agama.

Jalan Perbaikan

“Sesungguhnya orang yang amat mulia di antara kamu dalam pandangan Tuhan ialah orang yang lebih bertaqwa” - Q.S.: Al-Hujurat: 13. Bagaimana supaya seruan ini dapat difahami dan supaya perintah takwa ini dapat dikekalkan penghayatan serta amalannya? Kehidupan dunia demikian pendek dan sesaat sifatnya. Umur yang sekarang 40 tahun atau 60 tahun dirasakan sebentar cuma. Betapapun anda pernah merasakan kesakitan atau nikmat, semuanya ibarat angin lalu. Ia menyentuh kulit kita kemudian berlalu pergi. Umur setiap orang semakin berkurang setiap detik, lalu apakah kita menyedari akan hal ini. Umur yang meningkat, gigi yang rontok, rambut yang memutih, kulit yang mula berkedut semuanya adalah amaran dan peringatan dari Al- Islam memerintahkan umatnya supaya sentiasa mengimarahkan masjid dan Surau rajin menuntut ilmu lah. Ertinya kehidupan ini tidak lama dan akan segera meninggalkan kita. Cuma kita mengingatnya atau tidak saja. Kita selalu dilalaikan oleh dunia, padahal agama menyatakan sebaliknya. Bagaimana agar insan ini selalu beroleh kesedaran? Hendaklah seorang muslim sentiasa mempertingkatkan pemahaman agamanya. Banyakkan menghadiri kuliah-kuliah agama, giatkan menuntut ilmu dan mencintai amal.Hendaklah setiap muslim banyak membaca buku-buku agama dan majalah-majalah Islam. Misalnya yang sangat baik seperti buku, Nasihat Agama Dan Wasiat iman, karya Imam Habib Abdullah Al-Haddad, buku, Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam, karya Dr. Abdullah Nasih Ulwan, Al-Islam, karya Said Hawwa, La Tahzan, karya Dr. ‘Aidh Al-Qarni, kitab sirah seperti, Sirah Rasulullah SAW, karya Syaikh Sofiyurrahman Al-Mubarakfuriy, dan lain sebagainya. Kalau majalah seperti majalah “i”, misalnya, atau Anis. Untuk para pelajar sekolah rendah langganlah majalah-majalah seperti Asuh, Awlad, Ana Muslim atau Sayang Muslim.
Untuk memastikan juga supaya takwa, ibadah dan akhlak kita kekal baik dan semakin bermutu, hendaklah kita memilih teman atau sahabat yang soleh, sahabat yang mencintai Islam, yang selalu melazimi masjid-masjid Allah. Sebab dengan siapa kita berteman akan mempengaruhi akhlak kita. Ada pepatah yang berbunyi: “Kalalu anda hendak melihat seseorang, lihatlah dengan siapa dia bersahabat.” Sebab bersahabat itu pengaruh mempengaruhi. Berteman dengan seorang jahat,kita menjadi jahat, berkawan dengan seorang buruk kita menjadi buruk. Dan memang salah-satu sebab kerosakan manusia ialah salah dalam mendampingi sahabat. Apakah anda melihat seorang yang berkawan dengan seorang kaki maksiat mencintai masjid? Tentu tidak bukan.
Akhir sekali supaya seorang muslim dapat bermotivasi mengekalkan takwa dan memelihara baik akhlak keIslamannya iktibar dari amalan puasa tadi ialah dengan patuh kepada disiplin. Kerana tidak akan berjaya suatu kaum yang tidak menetapi disiplin. Dan disiplin itu adalah dari tekad dan azam sendiri yang dimotivasikan oleh agama tadi. Contohnya azam untuk berhenti merokok. Ambillah segala jenis pil atau ubat, tidak akan berjaya berhenti—ubatnya adalah tekad dan azam yang teguh serta memohon pertolongan Allah. Ya Allah bantulah kami untuk mengingat-Mu, mensyukuri-Mu dan membaguskan Ibadah kami ke hadhirat-Mu - amin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan